Mahu berdikari cari rezeki walau tidak dapat berlari

  • 31 Dec 2021
  • 9,143 views

SEPERTI penghantar makanan lain, Cik Sumaiyah Ghazali sanggup meredah terik mentari dan kedinginan hujan semata-mata mahu memastikan makanan tiba ke pintu rumah pelanggan. Namun, tidak seperti pekerja penghantar lain yang 'berlari' menepati masa menghantar makanan, Cik Sumaiyah, 40 tahun, menjalankan tugasnya dengan berkerusi roda. Walau menghidapi palsi serebrum dan tidak mampu berjalan sejak lahir, kekurangan fizikalnya tidak menghambat iltizamnya untuk berdikari dan menjadi anggota masyarakat yang dapat menyumbang. "Saya cuma tak boleh jalan, tapi kalau ada kerusi roda ni… umpama kaki saya. Sekurang-kurangnya saya boleh gerak, boleh kerja," ujarnya yang mula bertugas sebagai penghantar GrabFood sejak empat bulan lalu.